2 Disember 2025 - Operasi Bersepadu “Bersih Kedai Kotak Yang Terbiar” di Kawasan Paka telah dijalankan meliputi kedua-dua belah laluan jalan Paka.
Operasi “Bersih” ini melibatkan anggota Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kebersihan dan Pelesenan bagi Jabatan dalaman Majlis Perbandaran Dungun dan juga melibatkan kerjasama antara Jabatan luaran iaitu Pejabat Tanah Dungun (PTD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Operasi ini dilaksana sebagai langkah memastikan wajah bandar Dungun kekal bersih dan sedap mata memandang. Struktur kedai kotak yang ditinggalkan tanpa operasi dan terbiar bukan sahaja mencacatkan panorama bandar, malah mewujudkan persekitaran yang kurang teratur dan menimbulkan kacauganggu di sepanjang laluan utama.
MPD merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat atas komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan operasi ini.
Usaha bersepadu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MPD dalam memastikan kawasan Dungun kekal bersih, selamat dan teratur, demi keselesaan penduduk serta pengguna jalan raya.
Pagi cerah di bumi Dungun,
KAMI turun berganding tenaga.
Warga Dungun sama digalakkan,
Agar bandar bersih cantik terjaga.
