MAJLIS PELANCARAN LORI KOMPAKTOR BAHARU
MAJLIS PELANCARAN LORI KOMPAKTOR BAHARU BAGI PERKHIDMATAN KUTIPAN SISA PEPEJAL MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN TAHUN 2026
27 Ogos 2026 (Khamis) | Majlis Perbandaran Dungun
Majlis Perbandaran Dungun (MPD) telah mengadakan Majlis Pelancaran Lori Kompaktor Baharu bagi Perkhidmatan Kutipan Sisa Pepejal di perkarangan Pejabat MPD. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, YB Dato’ Wan Sukairi bin Wan Abdullah, diiringi oleh Tuan Yang Dipertua, Encik Mohd Nasir bin Kasim dan Tuan Setiausaha, Encik Mohd Adzhar bin Mohd Zahari. Majlis ini turut disambut baik oleh Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan), Encik Mohd Milzam bin Nur Anuar dan turut dihadiri oleh barisan Ahli Majlis, wakil-wakil kontraktor dan kakitangan MPD.
Pelancaran ini mencerminkan inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu melalui kerjasama Majlis Perbandaran Dungun dan syarikat kontraktor lantikan MPD dalam mempertingkat kecekapan pengurusan sisa pepejal serta memastikan perkhidmatan yang lebih teratur dan sistematik kepada komuniti, selaras dengan kehendak spesifikasi kontrak Perkhidmatan Kutipan Sisa Pepejal Tahun 2026 – 2031.
Sebanyak tiga (3) unit lori kompaktor telah disediakan oleh syarikat kontraktor Zon 2 (Azmi Dungun Trading) yang akan beroperasi sepenuhnya mulai 01 September 2026, manakala syarikat kontraktor Zon 1 (Gasa Tulen Sdn. Bhd.) pula dijangka mula beroperasi dengan lori kompaktor baharu pada bulan Oktober 2026.
Diharapkan dengan kemudahan lori kompaktor baharu ini akan dapat memperkukuh kecekapan pengurusan sisa pepejal di daerah Dungun dan memberikan impak yang signifikan terhadap peningkatan tahap kebersihan, keselesaan dan kesejahteraan buat warga Dungun, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif dan lestari selari dengan aspirasi slogan “Seindah Dungun”.








