PENGLIBATAN MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN DALAM PROGRAM MUSHTARI OPEN DAY
| Khamis, 05 Februari 2026 |
Majlis Perbandaran Dungun (MPD) berbesar hati dapat turut serta dalam menjayakan Program Mushtari Open Day 2026 anjuran Mushtari Maintenance Services Sdn. Bhd. (MMSSB) yang telah berlangsung di Warehouse MMSSB, Paka.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap amalan kitar semula, pengurusan e-waste dan pengumpulan minyak masak terpakai ke arah kelestarian alam sekitar. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Syed Mohd Rizal Syed Abdul Rahman, Pengarah Urusan MMSSB.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan sepanjang program ini, antaranya karnival kerjaya dan kekosongan jawatan, demonstrasi CPR dan pertolongan cemas, program derma darah, pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta pameran daripada agensi kerajaan dan swasta termasuk pameran kitar semula oleh MPD.
Selain itu, turut diadakan aktiviti pembelian minyak masak terpakai khususnya untuk komuniti setempat. Sambutan Mushtari Open Day ini juga dimeriahkan dengan taklimat keselamatan oleh HSE MMSSB, diikuti Kuliah Dhuha bersama Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus serta pelbagai sesi ceramah dan perkongsian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), BOMBA (demonstrasi CPR dan pertolongan cemas), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO.
Program ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara agensi, industri dan komuniti dalam usaha membudayakan amalan lestari.
MPD merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jemputan untuk turut serta dalam program ini. Semoga perkongsian ilmu dan aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat serta menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.









