Program Ihya’ Ramadan Majlis Perbandaran Dungun telah diadakan pada 10 Mac 2026 (Selasa) dengan tema “Puasa Berkualiti, Perkhidmatan Berintegriti”. Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan penghayatan ibadah Ramadan dalam kalangan warga kerja di samping memupuk nilai integriti dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab dalam perkhidmatan awam.
Program dimulakan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua dan diteruskan dengan Majlis Bacaan Ikrar Akta Rahsia Rasmi Majlis Perbandaran Dungun sebagai tanda komitmen warga kerja dalam mematuhi peruntukan akta serta memelihara kerahsiaan maklumat rasmi jabatan.
Seterusnya, program diteruskan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, YBhg. Ustaz Haji Mohd Shukri bin Ali, yang menyentuh tentang kepentingan menghayati ibadah puasa serta penerapan nilai integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam perkhidmatan.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan pengagihan bakul makanan kepada 20 orang asnaf sebagai salah satu inisiatif kebajikan dalam membantu golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat terus memperkukuh nilai integriti, meningkatkan penghayatan ibadah serta memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja dan masyarakat.









