SABTU | 16 MEI 2026
PROGRAM KITAR SEMULA (TRASH TO CASH) MAJLIS PERBANDARAN DUNGUN SIRI 3/2026
Majlis Perbandaran Dungun (MPD) telah berjaya menganjurkan Program Kitar Semula “Trash to Cash” Siri 3/2026 dengan kerjasama Awie Metal Sdn. Bhd. dan Sally Global Enterprise. Program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menghantar barangan kitar semula seperti bahan kitar semula biasa, e-waste (sisa elektronik) serta minyak masak terpakai, di samping menerima ganjaran wang tunai berdasarkan jenis dan kuantiti bahan yang disumbangkan.
Bagi memudahkan penglibatan masyarakat, aktiviti pengumpulan dilaksanakan secara pandu lalu (drive-thru), di mana orang ramai hanya perlu hadir dengan kenderaan masing-masing untuk menyerahkan barangan kitar semula dengan lebih cepat, mudah dan teratur.
Hasil daripada penganjuran program ini, MPD telah berjaya mengumpul sebanyak 3,539.90 kilogram barangan kitar semula, 340.70 kilogram e-waste (sisa elektronik) serta 1,093.98 kilogram minyak masak terpakai. Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap kesedaran dan komitmen yang tinggi dalam kalangan warga Dungun terhadap amalan kitar semula dan penjagaan alam sekitar.
Inisiatif seperti ini juga membantu mengurangkan lambakan sisa pepejal di tong sampah awam, khususnya menjelang musim Hari Raya Aidiladha apabila orang ramai giat mengemas rumah dan melupuskan barangan lama.
Kejayaan ini bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah turut menyokong usaha kelestarian alam sekitar serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat melalui konsep insentif “Trash to Cash”.
Terima kasih warga Dungun atas sokongan dan semangat hijau anda!
Marilah kita terus menyokong dan memperkukuh inisiatif lestari seperti ini demi memastikan Dungun kekal bersih, sihat dan mampan untuk generasi akan datang.
#KebersihanTanggungjawabBersama









